ATMOSFERA DAN MANUSIA
Sistem atmosfera secara umumnya mempunyai hubungan yang
sangat rapat dengan kehidupan manusia. Sistem atmosfera khususnya cuaca dan
iklim amat mempengaruhi aktiviti manusia dan begitulah sebaliknya. Aktiviti
manusia juga turut mempengaruhi perubahan cuaca dan iklim. Sehubungan itu, bahagian ini akan menjelaskan
pengaruh positif dan negatif sistem atmosfera khususnya cuaca dan iklim
terhadap aktiviti manusia dan pengaruh aktiviti manusia terhadap perubahan
unsur cuaca dan iklim. Isu perbincangan akan dikaitkan dengan skala dunia (global)
dan juga skala tempatan. Menurut Jamaluddin (2011:5) manusia adalah sebahagian
daripada persekitaran fizikal dan merupakan satu-satunya makhluk yang berkemampuan
melindungi dan juga boleh menyebabkan kemusnahan alam sekitar fizikal.
Unsur cuaca dan iklim yang dijana dalam ruang atmosfera
bumi mempunyai pengaruh yang amat besar terhadap pelbagai aktiviti manusia. Unsur
cuaca dan iklim yang penting terhadap aktiviti manusia ialah bahangan matahari, suhu, hujan dan
angin. Antara aktiviti manusia yang amat dipengaruhi oleh unsur cuaca dan iklim
ialah :
(i) Aktiviti
Pertanian. Suhu yang tinggi dan taburan hujan yang sekata sepanjang
tahun mempengaruhi perkembangan aktiviti pertanian. Min suhu 27°C dan jumlah hujan melebihi 2500 mm setahun membolehkan pelbagai
tanaman seperti getah, kelapa sawit, padi, tembakau, nenas dan sebagainya
ditanam sepanjang tahun. Kawasan tanah pamah di Malaysia seperti dataran Kedah
Perlis dan delta Kelantan sesuai untuk tanaman padi. Tanah Tinggi Cameron dan
Kundasang Sabah untuk untuk tanaman teh, buah-buahan dan sayuran hawa
sederhana.
(ii)
Aktiviti Pembalakan. Bahangan
matahari yang banyak khususnya di kawasan tropika lembab menggalakkan pertumbuhan
hutan hujan tropika, hutan pantai dan hutan paya bakau. Hutan Hujan Tropika
mempunyai pelbagai spesies tumbuhan berharga seperti cengal, meranti, keruing,
napoh serta balau dan sesuai untuk aktiviti pembalakan. Aktiviti pembalakan
terpaksa dihentikan pada musim tengkujuh kerana hujan lebat dan jalan menjadi
licin, berlumpur serta berbahaya.
(iii) Aktiviti
Pelancongan. Suhu yang panas dan
cuaca cerah sepanjang tahun menjadi tarikan pelancong khususnya pelancong dari
luar negara. Mereka akan mengunjungi pantai-pantai dan pulau yang indah seperti
pantai Batu Feringgi, Pulau Langkawi, Pulau Tioman, Pulau Kapas dan sebagainya
untuk berjemur. Cuaca yang cerah juga memudahkan pelancong mengunjungi
tempat-tempat menarik serta pusat membeli belah yang terdapat di seluruh Malaysia.
(iv) Aktiviti
Perikanan. Angin dan hujan merupakan
elemen cuaca dan iklim yang amat
mempengaruhi aktiviti perikanan khususnya di Malaysia. Angin Monson Timur Laut
yang bertiup pada bulan November - Mac dan disertai hujan lebat membahayakan
aktiviti perikanan kerana keadaan laut yang bergelora. Kawasan yang tidak
menerima tiupan angin kencang seperti pantai barat semenanjung Malaysia dan
tenggara Sabah, aktiviti perikanan boleh dijalankan sepanjang tahun. Hujan yang
lebat sepanjang tahun pula menyediakan bekalan air yang mencukupi untuk
aktiviti penternakan ikan atau akuakultur khususnya di kawasan pedalaman.
(v)
Perusahaan Kecil & Sederhana (PKS). Bahangan suria dan
tenaga haba yang banyak dari sistem atmosfera bumi khususnya di kawasan tropika
lembab mempengaruhi perkembangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Cahaya
matahari digunakan dalam industri
pengeringan hasil pertanian seperti teh, lada hitam, padi dan bunga cengkih.
Bahangan matahari sepanjang tahun membolehkan kerja-kerja pengeringan ikan dan pembuatan
belacan dijalankan di Kuala Selangor, Kuala Kedah, Pulau Pangkor dan Pulau Langkawi.
Bahangan suria juga penting dalam industri kraf tangan iaitu untuk mengeringkan
kain batik, tembikar dan rotan.
Aktiviti-aktiviti manusia berkaitan pembangunan ekonomi di sesuatu kawasan boleh mempengaruhi
perubahan dalam sistem atmosfera khususnya melibatkan pertambahan kandungan gas
pencemar. Menurut Fleming (1998) gas karbon dioksida yang terdapat di atmosfera
adalah penyerap radiasi haba yang terbaik. Namun begitu perubahan dalam
kuantiti kandungan gas ini boleh menyebabkan perubahan suhu. Perubahan suhu
global (global warming), secara
mudahnya berlaku apabila gas seperti karbon dioksida (CO2 ), karbon
monoksida (CO), kloflourokarbon (CFC), metana dan nitrus oksida yang berlebihan
dalam atmosfera menyerap sinaran daripada matahari dan mengeluarkan semula
sinaran tersebut menyebabkan suhu purata atmosfera akan meningkat. Gas-gas
tersebut juga akan menyerap haba yang dikeluarkan daripada sistem atmosfera
bumi. Kesan rumah hijau berlaku apabila komposisi gas-gas rumah hijau seperti
karbon dioksida, karbon monoksida dan nitrogen dioksida dalam atmosfera
melebihi tahap normal (0.03 peratus). Apabila komposisi gas rumah hijau
meningkat molekul-molekul gas yang bersifat menyimpan haba akan memerangkap
haba dan melambatkan proses pembebasan haba. Haba yang terperangkap ini akan
menyebabkan suhu permukaan bumi meningkat. Antara aktiviti manusia yang
menyumbang kepada berlakunya fenomena ini ialah:
(i) Perkilangan
dan Perindustrian. Kegiatan perindustrian merupakan penyumbang kepada
meningkatnya gas-gas rumah hijau di atmosfera. Penggunaan bahan api fosil untuk
menjana tenaga bagi aktiviti perindustrian telah menyebakan banyak gas karbon
dioksida dan karbon monoksida dibebaskan. Aktiviti perindustrian juga menjadi
penyebab kepada meningkatnya bahan cemar udara
yang lain seperti habuk, debu dan asap-asap kotor dalam ruang atmosfera.
Asap-asap yang dikeluarkan ini turut mengandungi PM10 (nitrogen dioksida,
sulfur dioksida dan sebagainya) iaitu gas yang boleh menyebabkan penipisan
lapisan ozon.
(ii) Penerokaan Hutan. Penerokaan hutan
secara besar-besaran dan tidak terkawal menjadi penyumbang kepada kesan rumah
hijau. Pembukaan kawasan baru untuk
pembangunan akan menjejaskan kitaran karbon iaitu proses semulajadi dalam
menjana keseimbangan kandungan gas karbon dioksida dalam atmosfera. Pokok-pokok
berfungsi menyerap lebihan karbon dioksida di atmosfera dan membebaskan gas oksigen
yang penting untuk mewujudkan keseimbangan kandungan gas dalam atmosfera bumi.
Sekiranya terlalu banyak pokok ditebang dan dimusnahkan keseimbangan gas karbon dioksida terganggu
dan kandungannya dalam atmosfera akan meningkat melebihi kadar 0.03 peratus.
(iii) Pengangkutan.
Kemajuan dalam sistem pengangkutan dan pertambahan penduduk dunia
menyebabkan keperluan kepada sistem pengangkutan sama ada pengangkutan darat,
laut dan udara meningkat. Penggunaan bahan api fosil yang berlebihan dalam
sistem pengangkutan menyebabkan perlepasan asap yang mengandungi gas pencemar
seperti karbon dioksida dan nitrus dioksida ke atmosfera. Selain itu proses
pembakaran bahan api fosil dalam kenderaan bermotor turut menyumbang kepada
peningkatan gas karbon dioksida dan karbon monoksida. Kandungan gas hidrokarbon
berlebihan yang disebabkaan oleh penggunaan bahan bakar petroleum akan
menyebabkan pencemaran alam sekitar dan membahayakan kesihatan manusia.
Aktiviti manusia ini telah menyebabkan pertambahan bahan
pencemar di atmosfera dan menyebabkan kenaikan suhu dunia secara global. Kesan
rumah hijau telah bermula sejak bermulanya revolusi perindustrian dan sejak itu
kepekatan karbon dioksida telah bertambah sehingga 30 peratus, metana bertambah lebih 2 kali ganda dan nitrus
oksida telah meningkat sebanyak 15 peratus. Peningkatan gas rumah hijau telah
menyebabkan terbentuknya lapisan perangkap haba dan memerangkap haba yang
dibebaskan semula ke atmosfera. Kewujudan perangkap haba telah menyebabkan
peningkatan suhu dan pemanasan suhu dunia secara global. Keadaan ini secara
tidak langsung telah mempengaruhi perubahan cuaca dan iklim dunia. Perubahan
cuaca dan iklim ini telah mempengaruhi kehidupan manusia antaranya ialah:
(i) Perubahan Iklim. Perubahan arah
angin dan arus menyebabkan berlakunya bencana alam seperti ribut dan taufan.
Kejadian iklim ekstrem telah mengakibatkan kemarau dan banjir dibeberapa
kawasan. Keadaan ini menyebabkan hasil hutan dan pertanian semakin berkurangan.
Perubahan pola hujan dan kekurangan sumber air tawar telah menyebabkan hasil
pertanian dan perhutanan berkurangan (Norazian et. al., 2015).
(ii) Kenaikan
Paras Air Laut. Kesan peningkatan suhu telah menyebabkan pencairan ais
di kutub dan paras air laut meningkat. Keadaan ini menyebabkan kejadian banjir
berlaku di beberapa kawasan persisiran pantai. Perlimpahan air ke kawasan
daratan akan menyebabkan tahap kemasinan tanah meningkat. Ini menyebabkan tanah
menjadi kurang subur dan tidak sesuai untuk aktiviti pertanian. Situasi ini
akan mengurangkan sumber pendapatan penduduk khususnya yang bergantung kepada
aktiviti pertanian.
(iii) Gangguan Kesihatan. Perubahan suhu
boleh menyebabkan berlakunya ‘heatwave’ di beberapa tempat. Penduduk
khususnya warga tua mudah mengalami ‘heatstroke’
yang boleh menyebabkan kematian. Peningkatan suhu juga boleh menyebabkan
kekurangan sumber air tawar dan kejadian banjir yang semakin kerap. Situasi ini
akan menyebabkan bekalan air domestik tercemar dan merebaknya wabak penyakit
seperti taun, cirit-birit dan malaria.
(iv) Gangguan Aktiviti Harian. Perubahan
iklim dan kejadian bencana alam yang disebabkan oleh kesan rumah hijau akan
menjejaskan kegiatan harian manusia. Bencana alam seperti banjir menyebabkan
banyak penempatan yang terpaksa dipindahkan. Penduduk tidak dapat menjalankan
aktiviti harian seperti biasa. Keadaan ini secara tidak langsungan menjejaskan
sumber ekonomi penduduk.
No comments:
Post a Comment