LEMBAPAN ATMOSFERA
Menurut Chan (1995) lembapan atmosfera
merujuk kepada jumlah air dalam bentuk gas atau wap iaitu unsur iklim yang
sangat penting dalam sistem atmosfera. Kelembapan atmosfera bukan sahaja
penting dalam mempengaruhi cuaca dan iklim tetapi amat penting kepada kehidupan
manusia dan terhadap sistem biosfera. Lembapan atmosfera merupakan sumber
tunggal kepada penghasilan air tawar. Ia terjadi melalui proses pengawapan wap
air yang berada dalam sistem atmosfera. Wap air akan berubah kepada bentuk
cecair melalui proses pemeluwapan dan seterusnya menghasilkan awan. Awan akan
berubah menjadi kerpasan apabila kandungan wap air menjadi tepu dan turun ke
permukaan bumi sebagai air tawar.
Antara proses-proses penting yang
berkaitan lembapan atmosfera adalah seperti berikut:
(i) Bahangan Suria. Bahangan suria merupakan
tenaga yang dihasilkan oleh matahari dan dihantar terus melalui angkasa lepas
ke bumi dalam bentuk tenaga elektromagnet atau tenaga sinaran. Sebaik sahaja
masuk ke lapisan atmosfera ia akan mengalami banyak perubahan (Chan, 1995:3).
Antara perubahan bentuk tenaga ialah tenaga elektromagnet kepada tenaga haba, tenaga
keupayaan, tenaga kinetik dan tenaga kimia. Perubahan tenaga dari satu bentuk
kepada bentuk yang lain adalah penting dalam bidang kaji iklim kerana
proses cuaca dan iklim adalah satu cara
untuk mencapai dan mengekalkan satu keadaan keseimbangan dari segi taburan
bahangan suria.
(ii) Sejatan. Proses ini berlaku
apabila air (cecair) atau pepejal (ais) bertukar bentuk kepada gas (wap air).
Kelazimannya proses ini berlaku apabila permukaan badan air dipanaskan oleh
bahangan suria (suhu) dan menyebabkan air (cecair) bertukar menjadi wap air
(gas). Pertukaran bentuk ini berlaku
apabila tekanan wap air pada permukaan air lebih tinggi berbanding
tekanan wap dalam atmosfera yang belum mencapai takat tepu. Wap air yang
tersejat adalah ringan dan akan bergerak ke atas ruang atmosfera bagi melalui proses
selanjutnya iaitu pemeluwapan dan seterusnya membentuk hujan.
(iii) Perpeluhan. Perpeluhan
adalah satu proses yang kompleks iaitu melibatkan kehilangan air dari tumbuhan,
haiwan dan manusia. Ia berlaku apabila wujud tekanan wap yang lebih tinggi pada
sel di permukaan daun, batang, kulit
atau badan berbanding tekanan wap di atmosfera (Chan, 1995: 47). Perpeluhan
dipengaruhi oleh faktor atmosfera dan faktor tumbuhan sendiri seperti kadar
umbesaran, saiz daun, suhu daun, bentuk daun dan sebagainya.
(iv) Pemeluwapan. Proses ini berlaku
apabila kandungan wap air yang telah tersejat mengalami perubahan lalu
membentuk titisan-titisan air yang terapung di ruang atmosfera. Titisan air ini
seterusnya akan bercantum dan membentuk awan. Pertukaran wap air kepada awan
berlaku apabila suhu dan jisim udara menurun sehingga mencapai takat embun
(0°C). Penurunan kadar suhu di ruang atmosfera khususnya pada lapisan
troposfera berlaku disebabkan oleh kadar tukaran adiabatik. Proses ini berlaku apabila jisim udara naik semakin
tinggi ke ruang atmosfera, maka suhu di dalamnya akan semakin menurun dan wap
air akan bertukar menjadi titisan-titisan air. Antara faktor yang mempengaruhi proses pemeluwapan ialah (a) kandungan
wap air dalam atmosfera yang mencukupi, (ii) proses penyejukan udara mencapai
paras takat embun dan (iii) terbentuk nukleus pemeluwapan.
(v) Pembentukan
Awan. Awan merupakan titisan-titisan kecil air yang terapung di udara.
Ia terbentuk hasil proses pemeluwapan dalam ruang troposfera yang mempunyai
ketinggian kurang dari 12 000 meter.
Pembentukan awan sebenarnya mempunyai hubungan positif dengan proses
pemeluwapan di mana semakin tinggi kadar pemeluwapan maka semakin tebal awan
yang terbentuk. Bagi menghasilkan hujan awan memerlukan angin untuk mendorong
beberapa awan kecil (komulus) untuk bergerak dan bergabung menjadi awan yang
lebih besar (komulonimbus). Apabila awan-awan kecil ini bergabung, menyatu dan
membentuk awan yang lebih besar, dorongan pada bahagian dalam awan akan menjadi
semakin besar dan meningkat. Pada masa yang sama dorongan ke atas pada bahagian
tengah awan menjadi lebih kuat berbanding bahagian tepi. Keadaan ini
menyebabkan kumpulan awan tumbuh semakin besar dan berlaku secara menegak.
Pertumbuhan ke atas menyebabkan badan awan mencapai kawasan yang lebih sejuk
pada lapisan atas atmosfera. Titisan air dan ais mula terbentuk dan semakin
membesar serta menjadi semakin berat dan jatuhlah titisan air atau ais ke
permukaan bumi sebagai gerimis, hujan atau pun hujan air.
Rajah 1: Proses Penumpukan Awan
No comments:
Post a Comment